• Main
  • News

Alhamdulillah, Dengan Limpah Kurnia Dan Izin Allah, Kelas

Alhamdulillah, Dengan Limpah Kurnia Dan Izin Allah, Kelas

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia dan izin Allah, kelas ganti “English is Fun” kelolaan “Sharity” dan disokong oleh Masjid Al‑Aminin, kembali buat kali ke‑46 pada 13 Disember 2025 (Sabtu) pagi. Sekali lagi, Bilik Mesyuarat Masjid Al‑Aminin menjadi ruang ilmu dan tempat berkumpul kariah-kariah yang mempunyai niat dan tujuan yang sama-berkongsi nikmat-nikmat Allah dengan para pelajar yang memerlukan.

Seperti biasa, kelas dimulakan dengan sesi ulang kaji topik minggu lalu iaitu “Fable” (Kisah Dongeng). Para pelajar diminta mengenal pasti nilai‑nilai murni yang mereka pelajari dari kisah “Arnab dan Kura‑kura”. Dengan “Membaca dan menulis” sebagai fokus utama kelas kali ini, para pelajar diperkenalkan kepada “Super Sentence Checklist”- peringatan berkenaan unsur‑unsur penting yang menjadikan satu-satu ayat itu betul dan lengkap.

Seterusnya, Kumpulan 1 diberi latihan membaca dan menulis tentang topik “Cara mengemas bilik tidur” dan “Tentang saya.” Manakala Kumpulan 2 pula diberi topik “Sahabat baik saya” dan “Menjadi rakan sekelas yang baik.” Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu pelajar lebih selesa dengan kamus, mereka sentiasa diingatkan agar merujuk kamus setiap kali berjumpa dengan perkataan baru. Semoga latihan ini dapat membina keyakinan serta kemahiran para pelajar menggunakan kamus.

Terima kasih kepada para guru dan penyokong tegar kami, baik secara langsung dan tidak langsung yang begitu komited. Masa, doa, tenaga, ilmu dan sedekah anda adalah pemangkin semangat dan keberterusan kelas ini. Semoga Allah menerima dan memberkati setiap sumbangan anda dan menjadi asbab sebaik-baik kebaikan, rahmat dan perlindungan Allah di dunia dan akhirat. Aamin aamin ya rabbal alamin.

(A-li'Imraan 3:92)

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

#masjidalaminin